CAKNAKAN HIDUP

Puisi-puisi di dalam 'Caknakan Hidup' ini adalah hak milik peribadi penulis. Sebarang pengubahsuaian adalah tidak dibenarkan sama sekali. Cetakan kembali hanya boleh dilakukan atas keizinan penulis. Semoga hak-hak ini dihormati bersama

Thursday, March 29, 2012

Bercerita Dengan Laut

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Semuanya.....


Puisi ini sudah lama aku simpan. Aku terbitkan kembali puisi ini dengan beberapa pembaharuan....


Bercerita di hujung burit kapal
Berpangku di atas keras kayu
Berbual dan bercerita aku dan laut
Tentang apa sahaja.....

Laut menjerit dan aku berteriak
Kenapa kau ke sini, di hujung yang gelap
Cukuplah beban rindu ini kau minta aku takung
Jangan pula bungkusan kasih kau campak kepada ku
Walau dada meluas, rindu kau lebih luas
Dari permukaan jauh ke dasar
Simpan dulu...biar aku ombakkan ke pantai untuk dia.....

Senak perut melihat petah si laut
Kau juga punyai perasaan seperti aku
Kau tahu segalanya tentang aku
Kau rasa apa yang aku rasa
Sememangnya kita sudah lama berteman.....

Apa yang kau fikirkan manusia?
Dalam pekat malam, hanya kau lemparkan senyum pada aku
Setiap masa kau membelai aku dengan pandangan
Sesekali ada air jernih di lurah pipi
Kau sedih?

Aku tersentak...sedih?
Aku manusia, sedih itu anugerah
Seperti senyum-senyum aku
Bukankah kau mengerti segalanya
Tentang aku dan dia.....
Aku hanya kenal rindu.....

Manusia! pekik si laut
Jangan dihitung hari
Aku pasti DIA telah simpan sesuatu untukmu
Kau teruslah yakin
Seperti aku tahu kau seorang yang tabah
Ini hanya picisan ujian
Yang mendatang barangkali kau tidak duga

Manusia!
Aku berpesan, jaga segalanya.....
Jaga urusanmu dengan DIA
Mana istoqomahmu dan mana doa panjangmu
Jangan jadi manusia alpa, aku tidak suka berkawan dengan si leka
Seperti mana kau menjaga kasih
Seperti mana kau mendukung sayang
Sebagaimana kau menjunjung rindu...

Esok masih panjang
Lenalah dalam pembaringan
Kau cari sahaja aku bila kau perlu
Aku setia di sini, tidak berarah
Untuk mu, untuk dia.....

Wanpetunjuk
Energy Miner, Sarawak Water - 2245hrs
27 August 2008

Monday, March 5, 2012

Rasa Tiada Penghujung

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Semuanya......

Puisi ini setahun lalu aku cipta. Puisi ini hanyalah ekspresi sebuah perasaan. Ini adalah antara perasaan yang benar dan ikhlas. Terimalah.....



Sekalipun pasirnya tidak sama
Sekalipun batunya tidak serupa
Namun tari ombak itu, airnya dahulu
Yang merentas sempadan, masih gemalai bayu

Rasa itu datang sejak dalam mimpi
Tidak tersangka nyata dalam realiti
Berkongsi ceritera yang berbahagi
Walau tahu balasnya tak peduli

Dahulu gebangnya bersendiri
Apalagi bila dikepung sepi
Hari ini masih dengan diri
Lakon layarnya sahaja bertampi-tampi
Biarlah nafas sesak
Biarlah dada sebak
Biarlah mata senak
Asal yang dilihat masih terjejak

Rindu pada percikkan yang asin
Harta ini pernah sekali ditelannya
Mujur sahaja bukan diri
Belum masa roh dan jasad berpisah
Barangkali kerana kasih
Risau nanti rindu merindu

Sepertilah aku
Ada rasa yang sifatnya infiniti
Seperti lautan sarat dengan intisari
...dan begitu juga rasa ini, tiada penghunjung.....


Oleh: Wanpetunjuk
Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang
9hb Februari 2011


Tuesday, February 28, 2012

Warkah Jasad Yang Berdosa

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Semuanya.....

Puisi ini sudah lama aku simpan malah aku pernah pamerkan di dalam Chronicle. Aku nukilkan di atas sekeping gambar masjid dan terimalah.....

Ya Allah...
Bebaskan diri ini daripada belenggu kejahilan
Jauhkan diri ini daripada pendustaan
Tabahkan hati ini daripada penghinaan
...dan redhakan diri ini daripada segala ujian

Ya Allah...
Aku ini manusia yang berdosa
Aku ini manusia yang berdusta
...dan aku ini manusia yang alpha...

Ya Allah...
Terimalah sujudku...
Dengarklah munajatku
Makbulkanlah doa-doaku

Ya Allah Ya Tuhanku
Maha Pengampun
Maha Pengasihani
Maha Pendengar
Inilah warkahku....



Wanpetunjuk
28.09.2009
Miri, Sarawak

Sunday, February 26, 2012

Bunuh

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Semuanya.....

Puisi ini ternukil dalam keadaan hati dan jiwa seolah mahu berteriak kerana menahan rasa tertekan tetapi sabar dahulu datang memujuk dan teriakkan tidak menjadi kerana istighfar lebih cepat mendahuli.....


Berbunuhlah rasa sebu, berbunuhlah rasa malas,
berbunuhlah rasa sombong tapi jangan dibunuh akan usaha

...biarlah terbunuh dendam, biarlah terbunuh kesumat,
biar terbunuh hasad tapi jangan terbunuh akan maaf

...dan jangan berbunuh, membunuh dan biarkan terbunuh akan SABAR!



Wanpetunjuk
9hb Januari 2012
1740hrs KSA (2240hrs waktu Malaysia)


Thursday, February 23, 2012

Titi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Semuanya.....

Aku zahirkan jejantas yang aku perlu lalui setiap kali pergi dan pulang ke pejabat. Menyeberangi jalan utama 6 lorong King Abdul Aziz Street di Al-Khobar, KSA. Terimalah....


Titi itu adalah jejantas
Rutin diri tujuannya merentas
Biarlah apa di bawah, kami akur di atas
Peluh dingin yang menjadi alas

Sudah titi isbat kami
Jangan tunduk iradah diri
Hidup bukan teka teki, bukan mimpi
Sampai  masa kembali yang hakiki

Titi itu bayu
Bukan wahyu hampir semua terseru
Aku rasa seperti rasanya kamu
Ilham mimpi kita berburu

Titi itu cahaya
Panas yang sama kita rasa
Moga lamalah bahagia
Selagi ada payung usaha
selagi ada selimut doa....



Wanpetunjuk
27 Desember 2011
Al-Khobar, KSA (1840hrs waktu Malaysia)


Wednesday, February 22, 2012

Fatwa Lima Jam.....

Puisi ini aku garapkan ketika aku berada di Al-Khobar, Saudi Arabia dalam perjalanan daripada pejabat menuju pulang ke rumah. Terimalah.....


.....kerana bukan pembeza, masa kami adalah sama
Baik dingin mahupun terik
Cinta tidak ada serik...

...lena dan jaga berikat doa
Mulut terkumat kamir akan zikir
Kata dulu hilang penat,
Segala resah gulana jua dan,
 akal ada cinta...

...ramai yang gila,
Angan-angan dipasang tidak mengena,
Jangan kalih sasaran, ajarkan setia.

...ini kelat. Fatwa yang lima aku cipta, kerana aku bukan pembeza...


Wanhidayat
19hb Desember 2011
Al-Khobar, KSA 0520hrs (2120hrs waktu Malaysia)