CAKNAKAN HIDUP

Puisi-puisi di dalam 'Caknakan Hidup' ini adalah hak milik peribadi penulis. Sebarang pengubahsuaian adalah tidak dibenarkan sama sekali. Cetakan kembali hanya boleh dilakukan atas keizinan penulis. Semoga hak-hak ini dihormati bersama

Thursday, June 25, 2009

Segalanya Hidup


Bayu itu terus bertiup
Dalam hadangan awan tebal
Mentari terus terik
Walau hujan belalu izin

Langit dan bumi jaraknya tidak terhitung
Tidak tercapai oleh jemari
Tetapi terpijak oleh kaki
Bukan hina sekadar menurut fitrah

Dada laut tenang tidak berombak
Dasarnya kencang
Wujud pertembungan
Itulah ukhwah dan ta'aruf

Sesekali jiwa benar aman
Akal benar kosong
Sekadar lirik mata yang memerhati
Di setiap penjuru kehidupan

Terasa dimensi ini bukan seperti lalu
Apakah ini petanda?
Atau amaran seketika
Betapa aku hanya manusia.....

Wan Mohd Hidayat
25 Jun 2009, Miri, Sarawak

Thursday, June 11, 2009

Tanggal Ini


Puisi ini aku dedikasikan buat satu jasad yang baru sahaja diberikan roh untuk bernafas dan menikmati keindahan penciptaan Allah S.W.T. Syukur alhamdulillah atas anugerah yang tidak terhingga ini.....Syukur alhamdulillah.....

Tanggal ini telah kami lalui dengan pasrah
Tanggal ini telah kami lalui bersama hidayah
Tanggal ini rahmat suatu anugerah
Tanggal ini sudahpun menjadi suatu sejarah

Duhai jasad kecil.....
Terimalah aku sebagai ayahmu
Redhalah aku sebagai ibumu
Percayalah ini dedikasiku

Duhai jasad kecil...
Mulalah mengembara
Tentang ceritera dunia
Tentang hakikat Khaliq yang satu

Jangan berfikir akan balaghah
Jangan jadi aku dan jangan jadi dia
Bentuklah sesempurna kejadianmu
Kami sentiasa disini.....

Duhai jasad kecil...
Dedikasiku telah lama bermula
Izinkan aku teruskan amanah ini
Izinkan aku memikul tanggungjawab ini

Ya Allah, tampakkan hikmah anugerahMu
Ya Allah, hembuskan kekuatan kehidupan
Ya Allah, kurniakan sifat kemanusiaan
Ya Allah, kami redha...kami redha....

Wanhidayat, Miri
11 Jun 2009

Tuesday, June 9, 2009

Bila Hati Berdendam


Hari ini aku menangis.....
Menangis yang tiada air mata
Walau rukun iman yang tiga itu sedang berteman
Rasa amarah dan dendam ini
Menolak-nolak ruang kesabaran.....

Mengapa aku perlu seluka ini
Mengapa aku rasa sesakit ini
Ya Allah...
Aku tidak mahu hasad ini menguasai aku
Aku tidak mahu sakit ini membunuh jiwa
Aku tidak mahu sedih ini membenam rasa 

Ya Allah.....
Berikanlah aku pedoman
Hadiahkanlah aku kekuatan
Hidayahkanlah aku keinsafan
Aku momohon hanya ketenangan.....


Ya Allah.....
Ampunkan dosa-dosa aku
Dari kesilapan antara manusia
Dalam lisan dan perbuatan
Dalam akal dan perasaan......

Wanhidayat, Miri
9 Jun 2009

Monday, June 8, 2009

Terkeliru


Bila datang pilihan
Pilihan yang bukan satu
Satu yang nyata hanya dalam seribu
Seribu yang hadir dalam sekali
Lalu terkeliru bersendiri

Ada yang menawar harta
Ada yang bertawar cinta
Ada yang menjual kasih
Ada yang mencari hanya jasad
Ada juga yang perlukan roh
Tawaran yang terkeliru

Pilihan itu pada siapa
Pada aku dan bukan pada dia
Bukan masa untuk memilih
Bukan masa untuk menyaring
Masa untuk diri dan untuk DIA

Oh, aku penat dengan perkara yang samar-samar!

Wanhidayat, Miri
8 Jun 2009

Saturday, June 6, 2009

Merawat Sebuah Rasa


Dalam pada ini.....
Dia terasa rasa yang semakin menjauh
Lalu bertanya kenapa dan mengapa
Berpeluh menanti jawaban yang tidak akan diluah
dan terus bertanya
Walau dia tahu ia masih serupa dan sama.....


Dalam pada ini.....
Dia melihat dalam tangga kasih
Di mana kedudukan diri.....dalam zahir atau belas
Tidak dia biarkan hidup dalam ihsan cinta
Kerana dia tidak mahu dibelas
Hanya mencari nilai ikhlas.....


Dalam pada ini.....
Dia diuji oleh derita jasad
Tidak dipeduli kerana jiwa termenung
Membeza lisan si lidah
Itu juga janji dan dibiar ia beringat
Selagi bertaut.....


Dalam pada ini.....
Tidak dia kenal erti penat oleh yang berkata
Jangan dikata kalau tidak dikota
Jasad dipujuk roh untuk sama berduka
Mengah juga menahan hilang rasa.....


Dalam pada ini...
Dia melihat suatu sandiwara
Tali ditarik dan menarik
Ludah keluar terus dijilat
Hidup tidak berprinsip
Lalu perut turut ketawa.....


Dalam pada ini...
Dia perlu pasrah dan redha
Dia perlu tabah dan kuat
Jangan ia berubah
Jangan rasa itu pergi
Jangan diri penat
Jangan dia terluka


Dalam pada ini...
Dia biar mata terus melihat
Dia biar telinga terus mendengar
Dia biar bibir terus berjanji dan berkata
Dia biar diri menjadi hamba diri
Kerana dia dalam bahagia.....


Dalam pada ini...
Dia memohon keredhaan Illahi
Dia bermunajat sendiri
Atas tingkah dan pekerti
Mengharap sebuah kehidupan yang dirahmati.....

Wanhidayat, Miri
3 Mac 2008

Perasaan Laut


Laut tidak pernah menjemput hadir
Tidak juga menghalau pergi
Laut hanya menerima seluas dadanya yang terbentang 
Marah dia bila disuruh 
Dia suka bila disuruh
Suatu petanda 
Sebagai amaran
Peringatan tentang hukum alam
Juga arahan yang Esa
Atas murka
Atas fitrah 
Menguji siapa yang menyerah

Laut bercerita dan dicerita
Tentang isi dan penghuni
Laut mendengar 
Aku yang menangis
Memesan salam rindu
Mengalun beban kasih 
Menghempas selautan sayang 
Berbisik untuk terus berteman dan menemani.....

Laut itu simpan segala cerita
Cerita-cerita alam 
Cerita yang penuh rintihan 
Cerita yang berbaur harapan
Tidak bisa diteroka 
Juga tidak dibongkar 
Yang tertulis sudah menjadi rahsia 
Rahsia antara DIA 
Bila tiba masa 
Laut menjerit
Laut merintih 
Segala berputar 
Dalam gulingan marah ombak 
Yang dekat jauh segala tersasar
Walau siapa tetap menjadi mangsa

Ingatlah.....
Laut ada rasa 
Rasa anugerah dariNYA
Juga seperti kita 
Cuma kita tiada mendengar
Selami dan hayati 
Bibir laut tidak jemu bersuara 
Jangan akibat angkara
Maka natijahnya semua terbinasa..... 

Wanhidayat, Miri
27 Jun 2008

Tentang Dia


Berlagak menari di taman astakona
Riangnya seolah tiada sengsara
Berikrar di sebuah permulaan
Jauh mengharap bahagia itu sampai bila-bila


Berikrar agar ia kekal lama
Meraih perhati dan senda
Dia masih tersenyum
Kerana hilang sudah duka


Dipegang terus kotak kata
Tidak akan ada siapa yang berjaya
meracun tetapi terus membaja
Biar yang tahu itulah sebenarnya dia


Biarkan dia ketawa
Agar bisa terlupa lara
Biar dia bermanja
Agar lega seluruh jasadnya.....

Wanhidayat, Miri
8 Januari 2008

Dalam Kesempatan Ini


Penat menjamah terik mentari
Lelah menepis angin laut
Titis peluh merangkak seluruh tubuh
Baru terngadah aku dalam berkasih
Dua purnama kasih bertaut

Tidak ianya kurang walau siang silih berganti malam
Biar panas berganti redup
Sekalipun mendung berganti hujan

Layar tidak lagi ke langit

Dayung tidak pula ke darat
Merentas taufan
Menongkah ombak
Gahnya si nakhoda

Andai karam

Biarlah ke dasar
Moga menjadi mutiara
Di dada lautan





Wanhidayat, Miri
15 Ogos 2007

Kehidupan Yang DiRentas Mata Sejarah

Puisi ini pernah dipemerkan di SINI

Kehidupan Yang DiRentas Mata Sejarah

Dia pernah menjamah lara
Dia pernah memakan duka
Dari sebuah kehidupan indah
Bertahun diterjah derita 
Itu yang tertulis.....

Mata dia menyaksi pekik yang menyusukan
Telinga dia mendengar tangisan yang melahirkan
Ditayang sandiwara bisu si ketua
Beristighfar...salah, ianya bukan sandiwara
Itu yang tertulis....

Saban hari dihadiah herdik
Selang siang dijamu caci
Malamnya dijerit maki
Sekelian ditidur sumpah seranah
Kelambunya air mata dan doa
Itu yang tertulis.....

Hati mula keras
Menjemput dendam membesar bersama
Biar kesumat itu terbalas
Bukan iblis berbisik
Hati yakin penuh masih berTuhan
Masih beriman
Sejarah yang direntas
Itu yang tertulis.....

Dari mata sejarah itu
Dia merentasi hari depan
Di ajar lafaz dan hafaz al-Quran
Dididik rukuk dan sujud
Dalam ombak itu
Dia berenang dan menyelam
Terkadang lemas cuma tidak ke dasar
Kerana sering timbul untuk berjuang
Itu yang tertulis....

Mata sejarah juga yang memujuk
Walau hati masih keras
Prinsip menuju dewasa
Akal semakin matang
Menzahir dalam citra bahasa metafora
anarkis, simbolik dan emosi utopia
Itu juga yang tertulis.....

Setelah berbelasan....
Dia faham akan kehidupan
Tidak segalanya
Kerana hati dan akal tiap masa bekerja
Untuk tahu itu dan ini
Itu yang tertulis....

Inilah dia....
Mata sejarah itu bukan retorik
Itu yang mendidik
Itu yang mencorak
Itulah yang mewarna
Menjadi dia seperti dia
Itulah yang tertulis.....

Wanhidayat, Miri
10 Disember 2007

Antara Harapan dan Secebis Kasih Sayang


Jika hari ini aku tewas dalam sejarah semalam
Aku bangkit demi cita-cita mendatang
Zuhud jua ku junjung demi taqwa
Zikir jua ku alunkan demi iman....

Berkali aku rebah dalam sebuah harapan

Munajat jua ku jadikan teman
Sujud jua ku jadikan pembaringan
Dalam sendu aku himpun kekuatan....

Tersedar aku dari lamunan
Kosong bagai terdampar ke suatu dimensi
Mencari sinar dalam kegelapan
Walau pernah sekali aku merasakannya....
Ia lenyap dalam hanyut nafsu
Merajuk kerana jumud akal
Derita kerana tiada sedar....

Wanhidayat, Miri
27 Jun 2007

Suatu Permulaan

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera Semuanya.....

Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa syukur kepada Allah S.W.T atas pemberian nikmat roh dalam jasad ini serta kekuatan kendiri yang membolehkan aku untuk terus mempelajari pedoman demi pedoman kehidupan. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabat-sahabat baginda, para alim ulama dan seluruhnya. Moga-moga Caknakan Hidup ini bakal memberikan suatu impak kepada seluruh pembaca yang sentiasa mencari dan memahami nilai kehidupan melalui tulisan-tulisan waras akal dan pengalaman hidup.

Caknakan Hidup ini, aku dedikasikan kepada seluruh pembaca Chronicle - This Too Shall Pass dan teman-teman yang menjunjung bahasa ibunda sebagai bahasa terulung di dunia. Di ruang inilah, aku terjemahkan cerita-cerita benar, dari pengalaman jiwa, dari pengalaman penglihatan dan pendengaran melalui bait-bait puisi. Maaf andai terdapat di antara puisi yang sifatnya menyindir, dan sesungguhnya segala nukilan ini adalah atas ihsan akal yang suka berfikir dan selalu ingin tahu tentang rahasia hidup. Mari kita cakna hidup kita!.

Akhir kata, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Jutaan Terima Kasih kepada semua teman-teman atas perhatian dan sokongan anda selama Chronicle bernafas dalam ruangan blogsfera ini. Selamat menghayati indahnya bahasa.....

Sekian, Wassalam,
Wanpetunjuk